Monday, 24 February 2014
Tepung Talam Microwave
Alhamdulillah......setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t, yang menganugerahkan kepada kita deria rasa, dengan itu kita dapat mengecapi nikmatnya pelbagai rasa makanan. Setiap suapan yang masuk ke mulut seorang mukmin amat bermakna sekali kerana ianya akan memberikan tenaga untuk kita meneruskan kehidupan sebagai seorang hamba di muka bumi Allah ini.
Kita ingin sekali setiap resepi yang dicuba betul-betul menjadi seperti mana yang kita kehendaki, jadi kita akan bersungguh-sungguh mengikut setiap sukatan bahan dan langkah-langkah yang diberikan dengan seberapa tepat yang mungkin. Begitu jugalah kehidupan kita sebagai hamba Allah, jika kita ingin menjadi hamba yang diredhaiNya, kita perlu mengikut resepi yang dianugerahkan Allah kepada kita seperti yang termaktub dalam Al Quran dan Sunnah.
Jom kita lihat dan mencuba resepi tepung talam yang sangat menjimatkan masa.......
Sediakan bahan-bahan dimulakan dengan menyebut nama Allah, pertama sekali perlu disediakan bekas untuk menyukat sama ada cawan, gelas, atau bekas yang lebih kecil jika inginkan kuantiti yang sedikit. Jika menggunakan cawan, semua sukatan perlu menggunakan cawan yang sama. Sedikit petua, jika inginkan kuih yang lembut dan cantik, tepung perlu diayak beberapa kali sebelum digunakan.
Bahan-bahan:
Lapisan bawah
1 cawan tepung beras
1/2 cawan gula merah
3 cawan air
**** Bancuh semua bahan ( boleh tambah sedikit air kapur makan sekiranya nak dan tapis ke dalam bekas (bekas kaca atau Microwave Transparent Plastic Food Container). Masak dalam microwave selama 1 minit, bila dah siap, kacau, masak semula 1 minit lagi, keluarkan, kacau hingga sebati, tutup bekas dengan cling wrapper, cucuk sedikit dengan garpu untuk lubangkan plastik tu, masak hingga 5-6 minit. keluarkan dan buka penutup plastik wrapper (plastik wrapper yang sama akan diguna semula untuk lapisan atas.
Lapisan atas
1/2 cawan tepung beras
2 cawan santan
1/2 sudu teh garam
****bancuh kesemua bahan dan tapiskan di atas lapisan bawah tadi, tutup semula dengan plastik wrapper, masak selama 5-6 minit lagi, keluarkan, buka penutup. Bila sejuk, potong dan hidangkan.
Selamat mencuba, dan jangan lupa mensyukuri nikmat yang Allah berikan kepada kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.jpg)
No comments:
Post a Comment